Hadith of the day


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, May 6, 2014

Mimpi Said Al-Harith

Selain kisah-kisah tersendiri di dalam negeri kekal bernama Syurga yang didambakan ini, saya akan kongsikan juga kisah-kisah aneh lagi menawan kalbu tentang manusia dunia yang diizinkan Allah berkesempatan melihat dan berhubungan dengan penghuni syurga; bidadari yang indah rupawan.

Untuk permulaan ini, mari kita hayati kisah seorang ahli ibadah dan pahlawan Islam yang warak bernama Said bin Al-Harith. 

Pada malam peperangan menentang kerajaan Rom, Saad berehat dan bermimpi aneh.

Kata Said; "Aku bermimpi seolah-olah dunia telah kiamat.  Semua orang telah keluar dari kubur dan menunggu-nunggu seruan Allah SWT.  Tiba-tiba muncul dua orang yang sangat bagus parasnya tidak pernah kulihat sebagus itu di dalam hidupku.  Mereka memberi salam dan berkata kepadaku.

"Ada khabar baik untukmu.  Allah telah mengampuni dosa-dosamu dan Dia sangat memuji usahamu serta telah menerima semua amal dan doamu.  Marilah engkau pergi bersama kami agar dapat melihat nikmat-nikmat yang telah disediakan untukmu."

Maka mereka membawa daku keluar dan menyediakan seekor kuda terbaik yang tidak ada menyamainya di dunia ini.  Dengan larian yang amat laju umpama angin yang bertiup kencang, akhirnya kami tiba di sebuah bangunan yang amat besar lagi tinggi.  Binaannya begitu bagus daripada perak yang berkilauan.  Pintunya terbuka sebaik kami tiba.

Di dalam bangunan, indahnya tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.  Tidak pernah terlintas di hati dan tidak pernah dilihat dek mata.  Ada bidadari-bidadari dan para pelayan yang sungguh ramai seperti bintang yang bertebaran di langit.  Sebaik sahaja mereka melihat kehadiran kami, lantas mereka mula bernyanyi dengan rentak luar biasa indah alunannya. 

"Kekasih Allah telah datang, kita ucapkan selamat datang kepadanya."  Seorang daripada mereka berujar demikian.

Kemudian kami terus berjalan hingga tiba di bilik-bilik tidur yang terbuat dari emas bersulam permata indah.   Kerusi-kerusi yang terbuat dari emas tersusun rapi dan di setiap kerusi itu duduk gadis-gadis yang luar biasa cantik jelita wajah mereka.  Di tengah-tengah mereka itu ada seorang gadis yang paling tercantik.

"Inilah tempatmu dan semua gadis-gadis itu adalah keluargamu,"  ujar orang yang mengiringiku lalu mereka pergi meninggalkanku. 

Gadis-gadis cantik itu lalu datang mendapatkanku sambil mengucapkan selamat datang dan memberikan sambutan penuh hangat dan menggembirakan, seolah-olah meraikan kepulangan orang yang sudah lama pergi.  Aku dibawa ke tengah-tengah tempat tidur di samping gadis yang paling cantik itu.

"Inilah isterimu.  Masih ada lagi yang serupa dengan dia untukmu," kata mereka.  "Kami telah menunggu-nunggu kedatanganmu untuk didudukkan dengannya."

Aku berbual-bual dengan gadis cantik yang dikatakan sebagai isteriku itu.  Dia melayani percakapanku dengan penuh sopan dan kehangatan.

"Dimanakah aku ini?"  tanyaku.

"Engkau sekarang berada di Jannatul Ma'wa."

"Dan siapa engkau ini?"

"Aku adalah isterimu yang kekal abadi."

"Katanya masih ada lagi yang lain, dimanakah dia?"

"Dia di dalam istanamu yang satu lagi."

"Kalau begitu pada hari ini aku akan tinggal bersamamu dan esok aku akan pindah kepada isteri yang satu lagi,"  kataku sambil menghulurkan tangan.

Namun gadis jelita ini menolak tanganku dengan sopan dan halus.

"Hari ini engkau mesti kembali dulu ke dunia dan akan tinggal di sana selama tiga hari."

"Aku tidak mahu kembali,"  sahutku.

"Tidak boleh, engkau mesti kembali dulu ke dunia.  Setelah tiga hari nanti barulah engkau akan berbuka bersamaku."  Dia bangun dari tempat duduknya dan aku pun bangun untuk mengucapkan selamat jalan.  Selepas itu aku terjaga dari tidurku.

*  Setelah Said bermimpi indah ini, dia telah berjuang sepenuh tenaga menebas setiap musuh yang datang menyerang.  Setelah malam barulah dia kembali ke khemah dengan pedang berlumuran darah dan tubuh yang luka-luka.  Di lewat malam Said bangun mengerjakan solat, membaca Al-Quran dan berzikir.  Esok hari dia maju ke medan perang dan berjuang dengan lebih hebat lagi dengan penuh keberanian. 

Ketika matahari akan terbenam, tiba-tiba sebilah anak panah meluncur dan mengenai leher Said.  Said tersungkur dan darah memancut dari lehernya.  Dia lantas diusung keluar dari medan pertempuran.

Said menggigit bibir sambil tertawa lalu mengucapkan, "Alhamdulillahilladzi shadaqana wa'dah (segala puji bagi Allah yang telah menepati janjinya kepadaku)."

Akhirnya Said syahid di medan perang.  Kisah Said dan mimpinya dikhabarkan oleh Hisyam temannya yang melihat Said mengingau pada malam dia bermimpi itu.  Maka menangislah mereka dan semakin bertambah iman mereka serta semakin hebat mereka berjuang sehingga akhirnya benteng tentera Rom roboh dan dapat merebutnya.  Semua didahului oleh syahidnya Said yang bermimpi indah itu.

Monday, May 5, 2014

Jumaat di Syurga

Hari Jumaat adalah hari paling istimewa di Syurga.

Pada pagi Jumaat, para ahli syurga akan memulakan perjalanan ke kota seterusnya yang dipanggil Mak'ad Sidik.  Perjalanan sejauh sehari waktu syurga, iaitu 1000 tahun waktu dunia.

Mereka disambut dengan penuh meriah dan dihidangkan makanan dan minuman yang teramat lazat lagi penuh nikmat.  Rohikum Mahtum dihidangkan iaitu sejenis minuman luar biasa yang amat nikmat rasanya.

Hiburan dipersembahkan dengan lagu-lagu yang merdu.

Segala aturcara berjalan licin dan lancar di bawah penyelenggaraan Malaikat Ridwan yang berkuasa penuh di atas segala urusan kehidupan di dalam syurga. 

Penuh kebahagiaan dan kenikmatan.

Satu jamuan paling hebat akan diadakan pada Jumaat pertama ini.  Undangan teristimewa adalah Baginda Rasulullah SAW diikuti para anbiyak semuanya.  Jemputan diadakan menuju Istana Haziratul Qudsiyah.

Riwayat mengisahkan Allah Taala memerintahkan Jibril untuk memindahkan Istana Haziratul Qudsiyah yang berada di Syurga Jannatu Adnin.  Maka pergilah Jibril ke syurga Jannatu Adnin kemudian kembali ia menghadap ke hadrat Allah Taala.

"Ya Tuhanku, hamba telah sampai ke Syurga Jannatu Adnin akan tetapi hamba tidak dapat mengenali yang manakah Istana Haziratul Qudsiyah itu."

Allah Taala berfirman; "Hai Jibril, kembalilah engkau ke sana dan tanyakah kepada Malaikat penjaga di manakah istana itu?"

Maka Jibril terbang ke Jannatu Adnin sekali lagi dan menemukan malaikat penjaga itu.  Malaikat ini begitu besar ukurannya sehingga sekiranya ia menjelma di bumi dengan rupa aslinya maka tertutuplah bumi oleh sebelah kakinya sahaja.

Jibril pun memberi salam. 

Malaikat penjaga Jannatu Adnin menjawab salam, "Siapakah anda dan apa maksudmu?"

"Aku Jibril pesuruh Allah."

"Subhanallah," kata Malaikat penjaga Jannatu Adnin.  "Semenjak Allah menjadikanku, baru kali ini daku tahu ada nama Jibril."

"Allah memerintahkanku  untuk membawa Haziratul Qudsiyah yang akan digunakan untuk menyambut tetamu Allah pada hari ini."

"Siapakah yang akan membantumu membawa dan memindahkan Istana Haziratul Qudsiyah ini ya Jibril?"

"InsyaAllah aku sendiri dengan izin Allah."

Kemudian Jibril mengucapkan lafaz Bismillah lalu diangkatlah istana itu lalu dibawa dengan tenaga yang sungguh luar biasa.  Istana itu ditempatkan di sisi Arasy Allah yang Maha Agung. 

Setelah itu Allah memerintahkan Jibril menyampaikan undangan kepada seluruh para anbiyak di mana sahaja mereka berada, juga undangan kepada segenap penghuni syurga lelaki dan perempuan.  Jamuan paling luar biasa dari Allah Khaliqul Alam.

Di hari ini penghuni Syurga akan diberi kesempatan untuk menemui Khaliqnya untuk menatap dengan mata kepala mereka sendiri.  Hari yang sungguh luar biasa gembira buat seluruh penduduk syurga yang dinamakan Yaumul Maziid.

Menikmati Hidangan

Perjalanan pada hari Rabu itu membawa penghuni syurga ke sebuah mahligai hebat yang sangat indah, mewah dan megah.

Dinding mahligai itu berwarna-warni dari batu-batu permata yang mulia;  Zabarjad hijau, Yakut merah delima, intan permata putih berkilau-kilau dan lain-lainnya.  Itu semua menambah rasa takjub dan hairan belaka.  Ia bukanlah hasil tangan manusia dan tidak pernah mereka lihat kehebatan begitu di alam dunia.

Mereka memasuki mahligai indah.  Ruangan di dalamnya sangat luas dan besar.  Perabotnya teratur sempurna dan mewah.  Segala susunatur kerusi dan hiasan sangat indah.  Hiasan dinding berkilau-kilau indah daripada batu permata yang mahal.  Kerusi ditatah intan permata yang gemerlapan dan tidak menyilaukan.

Di atas meja terhidang bermacam jenis makanan; buah-buahan dan minuman beraneka warna.  Delima, anggur, pisang, apel, mangga, kurma, yang ranum dan harum baunya.  Sangat mengecurkan selera

Bermacam daging burung yang dipanggang, digulai, disalai dan pelbagai cara masakan lagi.  Hanya pilih dan makan apa sahaja yang mereka inginkan untuk dinikmati semahunya.

Bidadari dan Wildan sentiasa melayani dengan senyuman indah dan suara yang menawan.

Penghuni syurga duduk dengan wajah yang berseri-seri, beramah-tamah bersama ahli keluarga menikmati hidangan yang disediakan.  Itulah balasan amal yang mereka kerjaka di dunia dulu.  Itulah kemenangan dan kebahagiaan yang mereka dijanjikan dulu.

Penghuni syurga berbicara tentang hal-hal yang mereka alami di Padang Mahsyar.  Juga peristiwa-peristiwa yang mereka lalui di dunia dulu.  Akhirnya segala pujian mereka ucapkan kepada Allah SWT yang berhak dipuji sebanyak-banyaknya.

Maka lupalah penghuni syurga akan segala penderitaan dan kesengsaraan yang pernah menimpa mereka dulu.  Kini mereka hanya berbual mesra dengan irama yang indah dan segala kesenangan yang penuh nikmat diberikan Allah sebagai balasan atas kesabaran mereka. 

Buraq

Pada hari Rabu, penduduk syurga berangkat ke suatu tempat lain yang jaraknya 1000 tahun waktu dunia (sehari waktu syurga).  Perjalanan ini menggunakan kenderaan istimewa yang terbang di udara dalam sekelip mata sahaja sudah sejauh pemandangan mata.  Ia adalah multifunction everywhere, di tanah, di air hatta di udara.  Itulah yang dipanggil Buraq.

Nabi SAW telah menerangkan tentang Buraq ketika Mi'raj baginda ke langit.  Baginda melihat satu rombongan kafilah yang pulang dari Syria.  Baginda memberi salam kepada mereka.  Unta-unta mereka ketakutan mendengar bunyi gemuruh berdesis Buraq sehingga seekor unta jatuh dan patah kakinya.  Mereka mengakui mendengar suara Nabi SAW memberi salam.

Namun anggota kafilah ini tidak dapat menerangkan bagaimana bentuk kenderaan Buraq itu kerana tidak sempat melihatnya.  Kecepatan Buraq sangat hebat.  Cuma mereka tertanya-tanya mengapa mereka mendengar suara Muhammad memberi salam dari atas.

Mata Air Salsabil

Pada hari Selasa penduduk syurga bergeak ke suatu tempat yang jauhnya kira-kira 1000 tahun. 

* Sehari di syurga adalah 1000 tahun di dunia.

Maka penduduk syurga sampai di suatu pergunungan yang tertinggi dan paling besar di antar gunung-ganang di Syurga.  Gunung itu adalah Gunung Kasturi.

Suasananya amat nyaman dan semerbak dengan bau kasturi yang wangi.  Di kaki gunung itu mengalir sungai bersumber dari mata air Salsabil, melingkari kota-kota syurga.

Di lereng Gunung Kasturi itu ada bangunan yang sangat besar dan hebat.  Bangunan yang sangat masyhur ini adalah untuk penduduk syurga singgah bertemasya.

Hidangan Berbeza

Penduduk syurga beroleh minuman yang berbeza pada hari-hari yang berlainan.

Mereka beroleh hidangan air tawar pada hari Sabtu.
Hidangan air madu pada hari Ahad.
Hari Isnin dihidangkan dengan air susu.
Hari Selasa mereka dihidangkan air arak.

Demikianlah minuman itu berganti-gantian berselang hari.

Air tawar itu bukanlah air tawar yang biasa, bahkan ia air tawar yang sungguh luar biasa.  Rasanya amat segar dan menyihatkan.  Sangat nikmat meminumnya.

Kesemua minuman ini sekadar untuk menambah nikmat meminumnya. 

Punca Mata Air Syurga

Apakah yang dilihat oleh Nabi SAW di dalam bangunan indah itu?

Di sana ada lafaz Bismillah yang besar dan sangat indah tulisannya.

Dari setiap lubang-lubang huruf Bismillah itu memancar mata air yang beraneka warna.

Dari lubang Mim Bismillah, memancar mata air tawar.
Dari lubang Ha Allah, memancar mata air arak.
Dari lubang Mim ArRahman memancar mata air susu.
Dari lubang Mim ArRahim memancar mata air madu.

 Maka dari pancaran mata air-mata air itu mengalir menjadi sungai-sungai yang besar di dalam syurga.

Kunjungan Nabi SAW ke Syurga

"Tatkala aku mi'raj, aku diberi kesempatan untuk melihat-lihat keadaan syurga dari dekat.  Di sana aku melihat sungai-sungai yang besar serta beraneka warna airnya iaitu sungai dari madu, susu dan sebagainya."

Sungai susu itu benar-benar lebih putih dari susu dan lebih manis dari madu.

Lalu aku bertanya, "Ya Jibril, dari manakah asal sungai-sungai ini?  Di manakah mata airnya?  Ke manakah terus alirannya?"

Jawab Jibril, "Aku pun tidak tahu asalnya.  Adapun sungai ini mengalir terus ke sebuah telaga besar iaitu Telaga Kautsar.  Di tengah-tengah telaga itu berdiri sebuah mahligai yang sangat indah dan megah dengan menara-menaranya menjulang tinggi ke angkasa.  Seluruh mahligai itu dibuat dari batu mutiara putih bersinar.  Bayangannya berkilau-kilau di permukaan air telaga. 

Itulah nanti istana yang menjadi milik anda, bertempat tinggal bersama isteri-isteri anda sesudah Kiamat.  Sekiranya anda ingin tahu, mohonlah kepada Allah supaya diberitahukan di manakah hulu sungai ini."

Tiba-tiba muncul seorang malaikat memberi salam.  Kemudian dia meminta aku mengikutnya.

Kami menyusuri pantai dan sampai di satu tempat yang sangat indah dan begitu permai, sedap mata memandang segalanya di situ.  Tiada bandingannya segala keindahan yang ada.  Ia benar-benar menakjubkan.  Kini aku berada di bawah naungan pohon kayu yang sangat besar.  Di kejauhan, aku lihat suatu bangunan yang maha besar kubahnya cembung melengkung bulat yang amat permai.  Ia dibuat dari batu mutiara yang putih dan cahayanya berkilau-kilauan.  Pintunya hijau dibuat dari zamrud dengan ukiran yang amat indah.  Teramat indah bangunan itu.

Kemudian baru kuketahui bahawa dari situlah asalnya air sungai yang mengalir mengukir laluannya di kota-kota syurga.  Andai dibandingkan tubuh manusia dengan bangunan itu tidak ubahnya seperti seekor burung kecil di bangunan yang besar.

Setelah puas memandang ke sekitar bangunan itu, malaikat itu berkata, "Apakah tidak tertarik hati anda ingin melihat di dalamnya?  Pasti anda akan dapat melihat yang lebih aneh lagi."

Kataku, "Bagaimana dapat memasukinya?  Pintunya berkunci."

"Itu mudah benar.  Kerana anak kuncinya berada di tangan anda."

"Apakah anak kunci itu?"

"Ucapkanlah Bismillahi rohmanirrohim."

Maka aku berdiri di depan pintunya dan mengucapkan lafaz Bismillah.  Lalu terbukalah sendiri pintu itu dan aku masuk bersama malaikat.  Subhanallah.  Sungguh sangat dan lebih menakjubkan apa yang kulihat di dalamnya.

Dinding Syurga

Dinding syurga diciptakan Allaha dari permata putih.  Satu dinding yang lain dari yakut merah dan dinding yang lain pula dari zubarjad hijau.

Lantai syurga diciptakan dari kasturi yang harum.

Padang rumput syurga diciptakan dari Za'faron yang harum.

Batu-batu kerikil yang menghiasi tanah syurga adalah dari batu-batu permata yang berkilau-kilauan indah. 

Tanah syurga pula dari ambari yang wangi.

Semua ciptaan ini dijadikan sedemikian rupa sehingga begitu menyenangkan ruhani dan jasmani manusia yang terpilih untuk mendiaminya. 

Tiada istilah kebosanan di sana. 


Sunday, May 4, 2014

Hurun'Ieen

Kulitnya putih bersih.  Wajahnya berseri-seri sangat mempesonakan pancaindera pandangan mata.

Senyumannya sungguh manis menampakkan barisan gigi yang indah di celah bibir yang merah bak delima merekah.  Matanya bulat besar.  Yang hitam terlalu hitam, dan yang putih teramat putih bersih jernih.

Mereka dinamakan Hurun'Ieen yang bererti bermata bulat dan indah.  Itulah nama julukan yang diberikan sendiri oleh Yang Maha Pencipta.

Khoiratun Hisan; adalah bermaksa yang cantik dan indah bentuk tubuhnya.

Semenjak mereka diciptakan secara langsung, tidak pernah mereka disentuh oleh manusia atau jin.  Mereka dipingit di dalam khemah-khemah yang terpelihara.

"Mereka bersandar duduk di atas sofa yang dari sutera, serta buah-buah di syurga itu rendah mudah dipetik."

"Di situ bidadari-bidadari yang lurus pandangannya terhadap suaminya, tidak bermata keranjang, mereka tidak pernah disentuh oleh jin dan manusia selain suami mereka."


Rutin Penghuni Syurga

"Sesungguhnya orang-orang yang  beriman dan bekerja kerja yang baik-baik adalah untuk mereka Syurga Firdhaus akan jadi tempat tinggalnya."

"Mereka kekal di syurga, dan tidak mereka ingin berpindah-pindah lagi dari situ."

Apakah pekerjaan dan rutin penduduk Syurga?

Mereka tiada lain pekerjaannya melainkan bercengkerama sepanjang masa.  Makan dan minum seperti yang kau lalui di pesta-pesta hari ini. 

Mereka bersiar-siar menikmati keindahan alam syurga dengan perasaan yang puas tidak terucap, amat bahagia.

Di mahligai-mahligai istimewa itu, yang sungguh indah dan luar biasa ciptaannya; ada bilik-bilik yang sungguh menyenangkan dengan perabot serba mewah.  Ada di situ para bidadari yang menunggu-nunggu dengan paras yang diselubungi cinta penuh hangat dan kerinduan paling dalam. 

Dan penghuninya duduk bersandar di sofa-sofa mewah, sambil dilayan oleh para bidadari dengan wajah yang indah berseri-seri dan senyuman bahagia yang sentiasa menguntum di bibir. 

Bidadari ini, harum sekali.  Bau dirinya, bau pakaiannya, bau mulutnya.  Suaranya lembut dan indah didengar membuai perasaan dan melarut di jiwa.  Andai hari ini bidadari berludah ke bumi nescaya tawarlah segala air lautan yang ada dan menjadi harum segala pelusuk dunia. 

Mereka bercengkerama dan bermesra bersama suami yang selalu dihendap ditinjau ketika alam fana dunia masih ada dulu.  Di dada masing-masing telah tertera nama-nama suami yang dirindui.


Sungai-sungai di Syurga

Di celah-celah kota-kota besar yang indah, ada sungai-sungai yang mengukir laluan air.

Ada sungai yang berwarna merah bening, ada yang berwarna putih susu, ada yang berwarna seperti manisan madu.  Tepian sungai-sungai itu dihias sebegitu rupa dengan taburan batu-batu permata yang gemerlapan cahaya.  Ada yang dihiasi batu akik kuning, batu delima merah, batu zabarjad hijau dan delima merah.  Setiap warna sangat sepadan dengan air sungai yang mengalir.

Batu-batu kerikilnya dari mutiara dan intan berlian yang berkilau-kilau gemerlapan.  Sungguh mempesonakan!

Dapatkah engkau membayangkannya?  Cuba kau tutup matamu sebentar ~ ada sungai yang indah terbentang di hadapanmu, ada alunan air yang nyaman menyentuh gegendang telingamu.  Ada wanita tercantik yang pernah kau lihat, sedang menatap wajahmu dengan sepasang matanya yang begitu indah, dengan tatapan yang sungguh merindu, sedang tersenyum dan tidak sabar membelai dirimu.

Tidak!  Ia jauh lebih mempersonakan.  Tidak akan dapat kau bayangkan dengan segala kekuatan imaginasimu, wahai insan!

Lalu kau cedok air sungai yang mengalir tenang dengan gelas kaca dari permata.  Sungguh nikmat dan teramat lazat rasanya.  Sungguh menyegarkan jiwa dan dirimu.  Ia arak yang langsung tidak memabukkan.  Sangat istimewa!  Inilah air sungai yang amat luarbiasa.  Mengalir ia dari mata air asli lagi suci bersumber dari bawah pohon Sidratul Muntaha.

Junjungan Nabi SAW telah pernah mencicipi setiap rasa air sungai yang berbagai jenis ini.  Subhanallah!  Ia sudah ada di sana. 

Sungai-sungai ini amat luas dan amat panjang laluannya.  Membelah kota-kota di segala pelusuk.  Menghiasi setiap negeri.  Dihiasi jambatan-jambatan indah melingkungi atasnya, dengan lampu-lampu berbagai bentuk ciptaan dan warna.

Nun di tepian sungai, ada pula laluan yang begitu bersih dan indah dihiasi pohon-pohon pelbagai warna.  Keharuman udara syurga menyebar ke serata alam, menyapa wajah dan menambah indah paras penghuninya.  Ahli syurga bercengkerama di sudut-sudut kediaman yang luar biasa ciptaannya, tersembunyi dari pandangan mata.

Ada juga yang sedang berjalan-jalan menikmati pemandangan syurga yang kekal abadi.  Tiada kematian.  Tiada rengsa dan tiada duka.

Hanya kegembiraan dalam kenikmatan yang tiada kesudahan.  Tiada jemu dan tiada putus asa.

Ia negeri yang kekal selamanya.

"Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman serta bekerja yang baik-baik.  Sesungguhnya untuk mereka syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai."





Tujuh Negeri dan pohon buah

di Syurga yang besar ukurannya nisbah negeri di dunia fana ini.

Kota-kotanya juga besar dengan menara yang menjulang ke angkasa.

Gedung-gedungnya indah dan menjulang megah.  Ia bertingkat-tingkat tinggi.

Kota-kota itu memiliki perhiasan taman sari nan indah nian, menyegarkan pemandangan mata dan amat menyenangkan jiwa.  Pohon-pohonnya pelbagai serta tersusun rapi dengan lanskap yang luar biasa indah serta pelbagai warna yang tiada pernah ditatap mata di dunia fana ini.  Pohon-pohon itu begitu rendang subur dan sangat lebat buah-buahnya.  Tiada musim buah, bahkan sepanjang masa ia berbuah sentiasa serta tiada layu dan busuk walaupun tidak dipetik.

Buah-buahan di Syurga ada bermacam jenis termasuk buah-buahan yang pernah wujud di dunia fana.  Nyatakan apa sahaja jenisnya, semua ada di Syurga.  Apel, anggur, kurma, delima, pisang, mangga, durian, buah naga, buah namnam, kundangan; you name it you get it.

Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Waqiah : 28-33; "Berada di antara pohon bidara yang tidak berduri, dan pohon-pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya), dan naungan yang terbentang luas, dan air yang tercurah, dan buah-buahan yang banyak, yang tidak berhenti (buahnya) dan tidak terlarang mengambilnya."

Ia lebih besar saiznya.  Lebih manis. Lebih harum.  Lebih nyaman.  Tidak menyakiti perut walaupun dimakan berpuluh tahun.  Rasanya berubah-ubah sentiasa lebih enak pada setiap gigitan sehingga anda tidak perasan sudah memamahnya selama 40 tahun.  Malaikat pun hairan melihat keasyikan anda.  Mengapakah engkau tidak menukar dengan buah yang lain?

Apabila buah dipetik, ia tumbuh lagi tidak pernah berkurangan.

Apabila engkau mengingini, terlintas sahaja di dalam hati ia sudah menurun mendekatimu; mudah dicapai menyerah diri sedangkan engkau bersenang-senang di atas dipan-dipan.

Tidak terliurkah membayangkan hal ini???


Friday, May 2, 2014

Nama-nama Syurga

Di dalam Al-Quran ada disebutkan nama kota-kota di Syurga, di antaranya;

Jannatu 'Adn     Jannatul Firdaus     Jannatul Ma'wa     Jannatul Khuldi     Darus Salam     Darul Qoror     Darul Jalal     Darul Jinan     Darul Bawar     Darul Na'iem     Darul Maqomah

Dikhabarkan semua kota-kota paling hebat ini terletak di bawah naungan pohon Sidratul Muntaha.  Sejauh mata memandang hanya kelihatan dedaun Sidratul Muntaha yang menutupi ufuk di kaki langit.  Demikianlah kehebatan pohon raksasa ciptaan Allah SWT ini.  Maka kota-kota syurga sentiasa redup tidak dingin tidak panas bahkan sungguh nyaman sepanjang masa. 


Sidratul Muntaha

Ia adalah pohon yang teramat besar sehingga dikhabarkan seandainya kuda yang paling pantas berlari mengelilinginya mengambil tempoh seratus tahun untuk sempurna mengelilingi pohon itu.  Dan di bawah pohon inilah terletaknya negeri kekal bernama syurgawi.

Luas Syurga

Di dalam al-Quran sudah dijelaskan bahawa syurga itu luasnya seluas tujuh lapisan langit dan bumi.  Syurga ada tujuh tingkat dan semua itu disediakan untuk orang-orang Mukmin sesuai dengan kadar amal perbuatan mereka semasa di alam dunia.

Firman Allah swt :


وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. (A-li 'Imraan 133)

Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar. (Al-Hadiid 21)